KHIDMAT SOKONGAN DALAM PENDIDIKAN
KHAS
Berdasarkan dua artikel yang saya telah
baca tentang khidmat sokongan, khidmat sokongan merupakan satu kumpulan orang
yang mempunyai kepakaran dan keperihatan dalam kerja – kerja sosial . Mereka
terdiri daripada para professional yang mahir dalam bidang tertentu dan bekerja
secara berpasukan dan tidak berdasarkan bayaran. Mereka dikenali sebagai
Pasukan pelbagai Disiplin.Khidmat Sokongan biasanya dalam bentuk bantuan atau
pertolongan seperti khidmat kepakaran, penasihat, kemudahan, perundangan,
kewangan atau psikologi dalam menangani murid- murid pendidikan khas bagi
mencapai matlamat pendidikan. Perkembangan khidmat sokongan telah bermula
sekitar tahun 1970-an apabila ahli-ahli
psikologi percaya bahawa konsultasi perlu dipermudahkan. Menjelang tahun
1980-an khidmat sokongan mula mendapat perhatian dalam pendidikan khas (Cook
&Friend,1991a) Beliau juga telah mendefinisikan khidmat sokongan sebagai
satu gaya perhubungan secara langsung sekurang-kurangnya antara dua kumpulan
yang bersetuju dalam membuat keputusan untuk mencapai matlamat yang sama.
Menurut Sher dan Baur (1991), khidmat sokongan sepenuhnya merangkumi interaksi
setiap anggota di sekolah yang melibatkan antara guru dengan ibu bapa
murid-murid khas,guru,ibu bapa dan murid-murid lain dalam kelas biasa.
Kefahaman tentang murid-murid khas bukan hanya dapat membantu pihak sekolah
membantu mereka tetapi juga menghargai kewujudan mereka sebagai sebahagian
daripada anggota sekolah.Khidmat sokongan dalam pendidikan khas telah
diperluaskan dalam kalangan guru-guru khas, guru-guru biasa, ibu bapa, murid
dan agensi khidmat masyarakat. Penglibatan keluarga menjadi agenda yang penting
dalam tahun 1990-an. Hal ini telah menyebabkan
terbentuknya kolaborasi kumpulan pelbagai disiplin. Kolaborasi ialah
perkembangan dan pengekalan yang positif, hormat-menghormati, perhubungan
egalitarian dan saling bekerjasama dalam menyelesakan sesuatu masalah dan
perkongsian dalam membuat sesuatu keputusan melalui proses perundingan.
Kolaborasi adalah usahasama di antara beberapa pihak, kumpulan, organisasi atau
disiplin untuk melaksanakan sesuatu projek. Usaha ini diperlukan kerana
sumbangan dan peranan mereka yang berbeza-beza dapat membantu kanak-kanak
tersebut. Pihak-pihak yang terlibat dalam kolaborasi pendidikan khas di sekolah
ialah kaki tangan sekolah seperti guru besar, guru pendidikan khas, pentadbir
dan staf sokongan sekolah, pakar-pakar perubatan, terapi, jurupulih, patologis,
jururawat, motivator, ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga. persatuan-persatuan
dalam komuniti, jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Pendidikan, Jabatan
Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan dan organisasi bukan kerajaan (NGO).
Antara sebab mengapa perlunya ada
kolaborasi dan kerjasama di antara pelbagai disiplin dalam pendidikan khas di
sekolah adalah kerana untuk menjalankan diagnosis tentang ketidakupayaan dan
tahap kanak-kanak pendidikan khas, setiap jenis ketidakupayaan dan tahapnya
memerlukan pengendalian yang berbeza caranya, membuat keputusan secara
berpasukan tentang penempatan jenis persekolahan kanak-kanak pendidikan khas,
setiap kanak-kanak pendidikan khas yang mengalami masalah yang berlainan
memerlukan latihan kemahiran dan kemudahan peralatan yang berbeza, pendidikan
khas memerlukan bantuan tenaga yang ramai untuk dikendalikan, setiap
kanak-kanak khas mempunyai masalah sampingan yang berkait rapat dengan masalah
kefungsian dan kebolehan untuk belajar perlu dirujuk kepada beberapa pakar, pendidikan
khas memerlukan sumber kewangan yang besar dengan mengabungkan tenaga dan
peralatan dari pelbagai pihak dapat mengurangkan beban ini dan akhir sekali
masalah tingkah laku dan pembelajaran dalam kelas biasanya dapat diselesaikan
dengan lebih efektif jika terdapat usahasama antara pihak-pihak tertentu
terutama sekali guru dan ibu bapa.
KOLABORASI PELBAGAI PIHAK DAN
AGENSI
IBU BAPA
Peranan ibu bapa terhadap anak-anak
pendidikan khas ialah mereka perlulah peka terhadap perkembangan anak-anak. Dalam
menentukan sesuatu proses pengajaran yang berkesan, peranan ibu bapa amat perlu
untuk menjayakan pendidikan untuk anak-anak mereka. Sentiasa memberikan
kerjasama dan membentuk tingkah laku dan akademik anak mereka. Ibubapa
seharusnya memberi latihan kepada anak mereka sewaktu anak mereka berada di
rumah dan memastikan anak mereka sentiasa menyiapkan tugasan yang diberi. Ibu
bapa juga perlulah mengetahui cara untuk menangani anak-anak mereka yang
memiliki kecacatan dari segi mental, emosi dan fizikal. Ibu bapa juga perlulah
mengesan dengan kadar segera masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka kerana
kemungkinan masalah itu dapat dipulihkan. Ibu bapa juga perlulah mendapatkan
nasihat daripada pakar-pakar perubatan tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak
mereka. Mereka juga perlulah memasang strategi yang sesuai untuk anak-anak
mereka yang menghadapi masalah untuk membentuk kelakuan anak-anak itu .
Ianya mampu memberikan kesan yang positif
terhadap perkembangan anak-anak dengan seimbang dari aspek tingkah laku dan
efektif. Ada segelintir ibu bapa malu mempunyai anak yang ada kad OKU dan tidak
dapat menerima hakikat bahawa mereka terpaksa memikul beban seumur hayat mereka
dengan jenama OKU tersebut. Sebahagian Ibu bapa beranggapan tidak perlu bersusah
payah mengajar bersungguh-sungguh kerana mereka sedar anak mereka memang
begitu. Memadai hanya pergi ke sekolah , bergaul dengan rakan dan ibu bapa
boleh membuat tugas lain sementara anak ke sekolah. Itulah tanggapan yang
paling pahit untuk dterima oleh seorang guru Pendidikan Khas. Perasaan kasih
sayang itu bertukar kepada kasihan maka sebab itu anak mereka tidak dapat
menunjukkan perkembangan dan kebolehan yang sebenar mengikut keupayaan mereka.
Kesibukan ibu bapa sehingga mengurangkan tumpuan dan perhatian kepada anak-anak
mereka. Bosan menghantar anak mereka ke
sesi terapi yang pada mereka tidak
membawa makna apa-apa. Pada hal mereka tidak menyedari perkembangan yang berlaku
pada anak-anak mereka. Malahan ibu bapa tidak menjalankan sesi tersebut di
rumah secara berterusan . Selain itu, penglibatan ibu bapa dalam program
pendidikan khas juga dapat memberikan semangat kepada murid-murid khas. Mereka
juga akan berasa lebih yakin pada diri sendiri kerana ada yang menyokong
mereka. Penglibatan ibu bapa juga dapat meningkatkan lagi perkembangan
anak-anak mereka.
GURU
Peranan pihak sekolah seperti guru-guru
juga amat penting dalam program pendidikan khas. Mengikut Kamus Dewan (Edisi
Ke-4), guru adalah orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan juga pengasuh.
Oleh sebab itu, peranan dan tanggungjawab seorang guru sangat memberi impak
yang besar dan mendalam dalam diri setiap murid. Profesion guru merupakan suatu
pekerjaan yang amat mulia di sisi Allah S.W.T. dan banyak hadis Rasulullah
S.A.W yang menyarankan umat manusia untuk menjadi pendidik atau penuntut ilmu
yang menabur bakti mengajar orang lain apatah lagi menjadi guru pendidikan khas
yang telah berbakti mengajar murid-murid istimewa yang memerlukan kesabaran
yang sangat tinggi. Peranan guru sangat besar apabila mereka dianggap sebagai
pengajar kerana tugas utama guru di dalam bilik darjah adalah menyampaikan ilmu
pengetahuan berdasarkan sukatan pelajaran serta mendidik murid-murid supaya
menjadi insan yang bermoral tinggi. Untuk mencapai objektif ini, guru sebagai
pengajar hendaklah merancangkan aktiviti pengajaran yang sesuai, alat bantu
mengajar untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran,
melaksanakan rancangan mengajar yang telah disediakan dan membuat penilaian
atas segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan. Melalui
maklum balas yang diperoleh daripada penilaian, guru dapat menambahbaikkan
proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pembelajaran yang baharu mengikut
masalah perlu diwujudkan apabila penambahbaikkan diperlukan. Oleh sebab itu,
guru haruslah menggunakan pendekatan yang kreatif dan kritis untuk menarik
minat murid dalam pengajaran dan pembelajaran.
Guru juga dianggap sebagai pengurus
apabila mereka diperlukan untuk mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid
supaya menjalankan tugas seperti menjaga kebersihan kelas, menjaga disiplin
pelajar dan sebagainya. Kecekapan guru menjalankan tugas sebagai pengurus akan
mewujudkan suasana sosioemosi yang sihat, disiplin kelas yang mantap dan
keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai untuk meningkatkan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru pendidikan khas juga
bertanggungjawab untuk menyimpan rekod-rekod peribadi murid mereka. Rekod
peribadi mereka sangatlah penting kepada individu lain untuk mendapatkan
maklumat dan sebaginya. Guru juga perlulah sentiasa mengemaskini rekod peribadi
murid-murid ini supaya perkembangan terbaru mereka dapat diperbaharui. Guru
juga berperanan penting untuk membentuk kanak-kanak pendidikan khas supaya
mereka pandai berdikari dan menguruskan diri. Mereka juga perlulah berfikiran
kreatif, inovatif dan imagenatif. Ini kerana jika guru pendidikan khas seorang
yang mempunyai ciri-ciri begini ia dapat menarik minat murid-murid berkeperluan
khas. Guru pendidikan khas juga perlulah membawa murid-murid berkeperluan khas
melawat kawasan luar agar dapat meluaskan pengetahuan mereka tentang dunia
luar.
Selain itu, untuk melancarkan lagi
perkembangan program pendidikan khas kerjasama guru pendidikan khas sangat
penting. Guru pendidikan khas dan juga guru biasa perlulah berkongsi pendapat
untuk mencapai objektif dalam pendidikan khas. Mereka juga boleh bertuka-tukar
bahan untuk mengajar. Hal ini dapat menjimatkan lagi masa dan tenaga. Maka
ketahuilah bahawa peranan guru juga sangat untuk merealisasikan aspirasi
pendidikan khas.
KOMUNITI
Komuniti berperanan dalam menerima dan
mengambil berat tentang golongan orang kurang upaya (OKU). Komuniti harus lebih
bersifat terbuka dan merendah diri dalam membantu dan menghulurkan bantuan
kepada golongan OKU. Komuniti yang bertanggungjawab harus bersedia melibatkan
diri dalamsegala program yang dianjurkan untuk golongan OKU.
BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO)
Peranan badan-badan bukan kerajaan ialah
untuk mengesan dan menjalankan rawatan, pembelajaran dan penerimaan kanak-kanak
berkerperluan khas. Mereka juga memberi bantuan dan nasihat kepada keluarga
kanak-kanak berkerperluan khas serta mereka juga memberi penerangan kepada ibu
bapa, para professional dan orang ramai. Mereka juga berperanan untuk memberi
asuhan-asuhan kepada kanak-kanak berkerperluan khas dan kanak-kanak cacat
anggota dan mental. Kanak-kanak ini diberi latihan mental dan fizikal.
Badan-badan bukan kerajaan juga menganjurkan program-program terapi pertuturan
bagi murid-murid sumbing bibir dan lelangit. Di samping itu, ia juga memberi
khidmat sokongan kepada ibu bapa yang memerlukan perkhidmatan ini. Mereka juga
membantu murid berkeperluan khas seperti murid-murid sindrom down mendapat
pelajaran serta latihan kemahiran hidup sebelum mereka dihantar ke sekolah khas
kerajaan. Badan kerajaan ini juga menjalankan aktiviti seperti mengesan
murid-murid buta untuk didaftar dan dirujuk. Mereka juga menjalan program
tindakan awal ‘early intervention’, menjalankan program pra sekolah, memberi
nasihat kepada ibu bapa dan menjalankan program penglihatan terhad. Terdapat
beberapa pusat yang ditubuhkan oleh badan-badan bukan kerajaan seperti
Malaysian Care, Persatuan Kanak-Kanak Cacat Akal Selangor dan Wilayah
Persekutuan, Persatuan Orang Buta Malaysia, Yayasan Sindrom Down Kiwanis, Cleft
Lip and Palate Association of Malaysia, NURY, TASPUTRA PERKIM dan Persatuan
Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).
JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT
Peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
memberi bantuan dari segi perkhidmatan kepada orang kurang upaya yang
bersesuaian dengan syarat yang ditetapkan. Mereka menyediakan perkhidmatan
kepada sesiapa yang mendaftar dengan mereka sahaja. Mereka juga mengecualikan
bayaran pendaftaran kemasukan pelajar kurang upaya. Jabatan Kebajikan
Masyarakat telah memainkan peranan dalam menggalakkan pelbagai kemudahan bagi
membolehkan OKU bergerak bebas. “ Kod Amalan Akses Bagi Orang Kurang Upaya Ke
bangunan Awam” dirangka bagi menwajibkan bangunan baru mempunyai kemudahan
akses kepada OKU. Antaranya termasuklah laluan yang bersesuaian dengan kerusi
roda, lif khas dengan reka bentuk yang sesuai, tempat letak kereta, tandas khas
dan sebagainya.
Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah
menyediakan pelbagai program untuk menjaga, membantu dan menyediakan kemudahan
untuk membolehkan orang kurang upaya menjalani yang normal kehidupan.
Mengadakan bantuan alat tiruan seperti anggota tiruan, tongkat, kaki palsu,
tangan palsu, kalipers, kerusi roda , alat pendengaran, cermin mata khas dan
alat-alat lain diberi supaya orang kurang upaya yang miskin dan berkeperluan
dapat bergerak serta memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan. Usaha telah
diambil untuk menyediakan lebih banyak kemudahan mesra orang kurang upaya
seperti kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kemudahan bebas
dari halangan.
Di samping itu, Jabatan Kebajikan
Masyarakat juga mengadakan Elaun Pekerja Cacat (EPC). Elaun insentif kepada OKU
yang bekerja dan berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan bagi individu
untuk menggalakkan mereka berminat bekerja. Skim ini bertujuan menggalakkan OKU
berdikari dan penyenggaraan pendapatan dapat memenuhi keperluan asas kehidupan
OKU dan tanpa bergantung kepada ahli
keluarga atau orang lain. OKU yang bekerja, hidup berdikari dan menjadi ahli
masyarakat yang produktif dan untuk
meningkatkan taraf hidup OKU di dalam masyarakat.
Jabatan Kebajikan Masyarakat juga
menyediakan faedah seperti pemeriksaan kesihatan, pemberian ubat dan kemudahan
wad di hospital kerajaan secara percuma, potongan tambang perjalanan,
pengecualian cukai jalan, dokumen perjalanan percuma, tambahan pelepasan cukai
pendapatan, potongan duti eksais bagi pembelian kenderaan nasional dan potongan
harga bagi pembelian rumah kos rendah. Latihan pemulihan seperti latihan pra
vokasional, kelas akademik tidak formal, pendidikan agama, rekreasi dan
aktiviti luar diberikan kepada individu orang kurang upaya kategori terencat
akal sehingga ke tahap sempurna mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing.
Perlindungan dan jagaan diberi kepada orang kurang upaya yang mengalami
kecacatan yang teruk.
PAKAR PERUBATAN
Dari perspektif perubatan, kanak-kanak
berkeperluan khas dilihat sebagai mengalami kecacatan atau terdiri daripada kanak-kanak
kurang upaya. Oleh itu pendekatan perubatan terhadap kanak-kanak ini ialah
untuk memulih atau mengubati kecacatan yang dialami. Umpamanya, usaha ke atas
kanak-kanak pekak dilakukan untuk memulih pendengaran dan melatih mereka untuk
bertutur. Begitu juga usaha perubatan yang dilakukan ke atas kanak-kanak buta
adalah untuk memulih penglihatan mereka dengan menggunakan pendekatan teknologi
dan perubatan terkini yang pesat membangun dari semasa ke semasa. Pakar
perubatan merupakan kumpulan profesional yang memainkan peranan penting dalam
pelaksanaan pendidikan khas di Malaysia. Klasifikasi kanak-kanak berkeperluan
khas (exceptional children) yang dilakukan oleh ahli perubatan berasaskan
kepada ciri-ciri perubatan. Pengesahan sama ada seseorang kanak-kanak perlu
belajar di sekolah biasa atau sekolah khas dilakukan oleh ahli perubatan.
Biasanya ahli perubatan akan menilai
kanak-kanak berasaskan kecacatan atau kekurangan yang dimiliki berdasarkan
ciri-ciri perubatan. Pakar perubatan menekankan kepada pemulihan daripada
kecacatan atau kekurangan. Sebab atau punca kecacatan atau kekurangan diberi
fokus utama dan cadangan untuk mengatasi kecacatan berkenaan diberikan.
Pemuliharaan (rehabilitation) dilakukan dengan menggunakan pelbagai kaedah
perubatan dengan tujuan untuk memastikan kecacatan atau kekurangan yang ada
pada seseorang itu tidak bertambah teruk. Sebaliknya, pakar pendidikan khas
bermatlamat memberi pendidikan sebaik mungkin, yang bersesuaian dengan potensi
yang ada pada murid berkeperluan khas dengan mengambil kira bahawa kecacatan
yang ada pada seseorang bukan penghalang kepada mereka untuk mendapat dan
berjaya dalam pendidikan. Kanak-kanak berkeperluan khas dilihat sebagai satu
golongan manusia yang memerlukan pendidikan yang sesuai dengan kebolehan
mereka. Oleh itu, kanak-kanak berkeperluan khas yang mempunyai ciri-ciri boleh
mengurus diri sendiri dan mempunyai keupayaan untuk menerima pendidikan
(educable) seharusnya diterima untuk bersekolah. Terdapat enam pakar perubatan
yang terlibat dalam pendidikan khas iaitu pediatrik, neurologi, terapi
pertuturan, terapi fizikal, audiologi dan oftomologi. Pediatrik
bertanggungjawab untuk mendiagnostik dan merawat penyakit kanak-kanak dengan
mengesan punca masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak tersebut seperti genetik,
kewarisan, prenatal dan postnatal. Pakar neurologi pula mendiagnostik dan
mengubati penyakit yang berkaitan dengan neuorologikal seperti kecederaan otak.
Ia juga mengawal hiperaktif dan masalah menumpu perhatian dengan memberikan
ubat “ Ritalin” untuk mengawal kanak-kanak hiperaktif. Pakar oftomologi akan
menaksirkan penglihatan pelajar.Sekiranya mereka mempunyai masalah penglihatan
yang berbeza daripada kanak-kanak normal mereka memerlukan cara pengajaran yang
berbeza dengan kanak-kanak normal. Kanak-kanak yang disyaki mempunyai masalah
dari segi pendengaran pula akan dirujuk kepada pakar audiologi untuk mengesan
fungsi pendengaran kanak-kanak tersebut. Terapi pertuturan pula diadakan untuk
mengesan masalah komunikasi dari segi pertuturan dan bahasa kanak-kanak.Terapi
pertuturan ini akan menggunakan pelbagai pendekatan, teknik dan cara untuk
membantu kanak-kanak seperti gagap, sumbing dan kanak-kanak yang mempunyai
masalah alat artikulasi untuk bertutur. Terapi fizikal pula adalah untuk menaksir
fungsi-fungsi motor halus dan motor kasar kanak-kanak, melatih kemahiran hidup
serta kemahiran untuk membantu diri.
RUMUSAN
Kesimpulannya, kolaborasi antara ibu bapa,
guru, pakar perubatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan
(NGO) sangat penting dalam pendidikan khas untuk perkembangan dan pengekalan
yang positif, hormat-menghormati, perhubungan egalitarian dan saling
bekerjasama dalam menyelesakan sesuatu masalah dan perkongsian dalam membuat
sesuatu keputusan melalui proses perundingan. Peranan pelbagai pihak juga
sangat penting untuk perkembangan yang positif dalam diri kanak-kanak
berkeperluan khas. Hal ini dapat membuatkan matlamat pendidikan khas tercapai.
No comments:
Post a Comment